Friday, April 10, 2009

HIKAYAT RAJA SABAH DARI KAJIAN MUTALIB M.D

HIKAYAT RAJA SABAH
Written by Sabah Kini
Thursday, 05 February 2009 19:41
Oleh: MUTALIB M.D


Memandangkan tidak berpuas hati dengan kajian sejarah yang sedia ada kerana kebanyakannya berdasarkan hipotesis dan kajian sarjana Barat yang terlalu banyak ditokok tambah, saya telah menghabiskan masa hampir lima tahun mengkaji pertamadunan awal 'Melayu' kerana tidak dapat menerima Kesultanan Melayu Melaka sebagai asas pertapakan Melayu di Asia Tenggara. Apatah lagi mereka melihat orang Melayu dari kacamata penjajah yang selama ini menafikan kedaulatan Melayu.

Berdasarkan penemuan artifak sejarah, fosil dan pentarikhan radio carbon, saya berpendapat tamadun Melayu pertama diasaskan di Sabah oleh Raja Abdullah iaitu orang yang pertama memeluk Islam di Sabah iaitu pada tahun 1408, enam tahun lebih awal daripada Parameswara.

Teori ini dimantapkan lagi dengan penemuan manuskrip asal tulisan jawi dalam bahasa Idahan Tua yang kini disimpan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti Negara.

Walaupun penemuan ini masih terlalu awal, namun ianya merupakan perintis untuk mengkaji asal usul 'Melayu' dan pertamadunannya dari aspek sejarah.

Penemuan keris purba, peninggalan tapak sejarah, tradisi lisan dan sebagainya adalah katalis prima untuk mengungkap zaman silam yang masih menjadi misteri kepada kita, apatah lagi inilah kali pertama ianya dibukukan.

Saya tidak terkilan jika ada pihak yang menafikan penemuan saya ini kerana tidak mempunyai asas yang kukuh atau tidak menggunakan metodologi kajian konvensional yang lazimnya digunakan oleh pakar sejarah.

Walaupun ada kalanya kelihatan berbaur legenda, mitos dan anakronis, namun saya membuka pintu kepada ahli sejarah Malaysia dan dunia membuktikan bahawa teori dan penemuan saya 'melampaui keraguan munasabah'.

Sebagai kesinambungan kepada kitab 'Sejarah Melayu' yang dikarang oleh Tun Seri Lanang, saya menamakan penemuan saya sebagai 'Hikayat RAJA SABAH' yang membongkar misteri di sebalik enigma.

Walaupun ada yang melihat 'Hikayat Raja Sabah' sebagai cerita rakyat yang memaparkan lebih banyak unsur mitos, legenda dan anakronis, namun cukup untuk membukti bahawa ada kehidupan awal di Sabah sebelum tamadun 'Tanah Melayu' wujud di Semenanjung Tanah Melayu.

RAJA APOI bersemayam di sebuah istana yang diperbuat daripada kayu merbau dan belian. Istana tersebut terletak di atas sebuah bukit di Bu-lud Temil atau Bukit Sejuk (kini Kota Kinabalu) bagi memudahkan Raja Apoi mengawasi perjalanan keluar masuk kapal ke dermaga dan memantau pergerakan lanun.


Pada suatu hari Permaisuri Sulid Liud Langi mengidam dan terlalu ingin makan hati rusa lalu menyampaikan hasratnya kepada Raja Apoi. Memandangkan permaisurinya sedang mengandung anak sulung, maka Raja Apoi menyiapkan angkatan perburuan yang besar untuk mendapatkan rusa yang terbaik.

Namun Permaisuri Sulid Liud Langi meminta Raja Apoi berburu sendiri kerana bimbang keselamatan negeri mereka daripada ancaman bajak laut atau lanun jika semua pembesar mengiringi Raja Apoi berburu, apatah lagi permaisuri sedang sarat mengandung.


Para pembesar negeri gusar kerana Raja Apoi bersendirian berburu, namun tidak berani membantah kehendak permaisuri dan merasakan pendapat permasuri ada kebenarannya. Lagipun Raja Apoi diiringi oleh seekor anjing pemburu yang gagah, Siud Rapod.

Keesokan paginya ketika matahari memancar terang, seluruh rakyat Bulud Temil berkumpul di hadapan istana untuk mengucapkan selamat berangkat kepada raja yang mereka sanjung dan sayangi, Raja Apoi, berburu di rimba raya. Raja Apoi memberi nasihat kepada permaisuri agak menjaga kesihatannya dan berjanji akan lekas balik sebaik sahaja berjaya mendapatkan hati rusa yang diidamkan permaisurinya. Semasa ketiadaan Raja Apoi, adiknya Tengku Lenom akan memangku tugas Raja Apoi atas nasihat Permaisuri Sulid Liud Langi. Semua pembesar negeri menjunjung titah untuk taat setia kepada permaisuri dan pemangku raja.

Raja Apoi kelihatan gagah melangkah menuruni istana Bulud Temil dengan diikuti oleh Siud Rapod dan lambaian seluruh rakyat yang di bawah kuasa takluknya. Ada yang menangis dan ada yang memberikan kata-kata semangat kerana sepanjang pemerintahan Raja Apoi terlalu adil dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negerinya.

Setelah sehari suntuk berburu, Raja Apoi belum menemui walau seekor rusa sedangkan tapak rusa berpeta di tanah yang becak kerana dibasahi embun dan hujan.

Raja Apoi berhenti rehat di tebing sungai dan menjamah makanan yang dibekalkan permaisurinya. Siud Rapod juga turut mengisi perut dengan bekalan berasingan yang dibawa bersama.

Raja Apoi bersandar pada banir merbau yang menongkat langit. Lembingnya diasah lagi. Busur dan panahnya turut diperiksa rapi, manakala sundang di pinggangnya dicabut dan digosok dengan daun mempelas agar kelihatan berkilat.

Tiba-tiba Raja Apoi terdengar salakan Siud Rapod yang nyaring di sebalik sebuah busut jantan berdekatan pokok merbau tempatnya bersandar. Raja Apoi bingkas bangun dan meluru ke arah Siud Rapod yang begitu berani menghampiri seekor rusa yang berbulu emas yang cuba menyerang Siud Rapod.

Raja Apoi cuba memanah rusa berbulu emas itu, namun menyedari dirinya dalam bahaya, rusa itu segera menghindar dan menyelinap di dalam hutan tebal. Anak panah yang dilepaskan terkena busut jantan.

Siud Rapod segera mengejar rusa tersebut dengan pantas. Raja Apoi menuruti dari belakang dan berpandukan suara salakan Siud Rapod yang semakin lama semakin jauh namun Raja Apoi merapatkan jarak kerana biasa berlari pantas memburu di dalam hutan.

Beberapa kali rusa emas itu hampir tumbang terkena tujahan lembing Raja Apoi, namun rusa itu masih gagah terus berlari. Pada perkiraannya rusa yang sudah luka itu tidak akan berlari jauh dan akan tumbang apabila kehabisan darah. Namun sudah hampir dua hari mengikut jejak, rusa itu masih mampu berlari dan dikejar rapat oleh Siud Rapod yang begitu gagah memburu dan mengesan jejak.

Raja Apoi agak terkejut kerana rusa tersebut semakin pantas berlari dan hanya berhenti sebentar di sebuah gua, Agup Gadong (Gomantong) yang dipenuhi sarang burung layang-layang putih dan hitam.

Seketika kemudian rusa emas itu berlari lagi dan menyelinap masuk ke Agup Batu Timbang sebelum berlari laju dan hilang di dalam kegelapan Agup Tapadong. Setelah lama menunggu di pintu gua akhirnya rusa emas itu dikejar oleh Siud Rapod sehingga ke Agup Bilo (Baturong).

Dari Agup Bilo, rusa emas semakin pantas berlari walaupun darah semakin banyak keluar. Ketika tiba di Agup Tegarung rusa tersebut sudah tercungap-cungap dan hampir rebah ketika Siud Rapod dapat menggigit kaki hadapannya.

Namun rusa emas itu bertambah pantas sehinggalah sampai ke Agup Madai. Ketika Raja Apoi tiba, rusa emas sedang tercungap-cungap meminum air sungai Madai sementara Siud Rapod terjelepuk keletihan.

Raja Apoi terus merejamkan lembing ke arah rusa emas namun tidak mengenai kerana cuaca agak gelap, apatah lagi Raja Apoi terlalu keletihan setelah memburu tanpa henti selama lebih dua minggu. Lembing itu tertancap ke lantai gua berhampiran rusa emas.

Raja Apoi segera mencapai anak panah dan ketika mahu melepas-kan anak panah tersebut tiba-tiba rusa emas itu bersuara;

"Janganlah bunuh saya. Kita bersaudara. Nama saya Payau Mas. Sebagai balasannya, saya tinggalkan harta yang tidak habis dimakan di setiap gua yang saya berhenti."

Terpinga-pinga Raja Apoi mendengar suara Payau Mas yang pandai berkata-kata sebelum hilang di dalam kegelapan gua. Siud Rapod tidak lagi mengejar, mungkin kerana terkejut mendengar suara rusa tersebut.
Raja Apoi kecewa kerana gagal membunuh Payau Mas setelah menghabiskan banyak masa dan tenaga memburu rusa tersebut.


Namun agak gembira kerana semua gua yang dilaluinya kini menjadi miliknya sebagai galang ganti nyawa Payau Mas. Raja Apoi lebih menggemari Gua Madai kerana mengalir di dalamnya anak sungai yang jernih dan gua yang besar.

Apatah lagi banyak sarang burung di dalam gua tersebut berbanding gua-gua sebelumnya. Gua Agup Gadong juga banyak sarang tetapi tidak mempunyai sumber air yang mencukupi dan agak gelap.

Setelah melepaskan penat dan memakan daging babi yang dibunuhnya, Raja Apoi memulakan perjalanan pulang ke Bulud Temil kerana bimbang permaisuri akan mengarahkan rakyat menyusulnya. Lazimnya Raja Apoi akan keluar berburu selama beberapa hari sahaja tetapi kini hampir sepekan (minggu) berlalu.

Dalam perjalanan pulang tersebut, Siud Rapod dapat menghidu se-ekor rusa yang terjerut tanduknya di akar kayu yang berjuntaian. Raja Apoi tidak membuang masa lalu menikam rusa jantan itu dengan sundang dan melapah perut rusa itu untuk mengambil hatinya.

Jantung rusa itu diberikan kepada Siud Rapod yang mula kebuluran setelah hati babi yang dimakan di Gua Madai telah dihadamkan. Raja Apoi memotong sedikit daging rusa untuk bekalannya.


Raja Apoi berlari pantas mengikut jejak kakinya ketika datang dengan bantuan Siud Rapod kerana bimbang hati rusa akan rosak jika tidak segera dimasak, apatah lagi bimbang permaisurinya akan kecewa dan kempunan. Kepulangan Raja Apoi disambut gembira oleh seluruh rakyatnya. Pada malam itu Kerajaan Bulud Temil mengadakan pesta sempena meraikan kepulangan Raja Apoi dari berburu.

Dalam titahnya yang serba ringkas, Raja Apoi mencadangkan agar mereka berpindah ke Gua Madai, gua terakhir yang menjadi tempat hilangnya Payau Mas dan merasakan tempat baru begitu selamat untuk didiami berbanding negeri mereka sekarang yang sering dilanda kemarau dan hujan ribut sehingga semua tanaman tidak menjadi. Raja Apoi mencadangkan agar mereka menternak babi dan menanam ubi kayu kerana banyak sarang burung di dalam gua tersebut yang menjadi makanan kegemaran babi dan tidak perlu membuat rumah disebabkan gua tersebut cukup luas untuk seluruh rakyatnya.

Sejak daripada itu pusat pemerintahan Kerajaan Bulud Temil berpindah ke Gua Madai dan ada beberapa orang rakyat Raja Apoi diarahkan menetap di Bulud Temil bagi memastikan tidak ada orang lain yang menceroboh istana raja dan mengkhabarkan kepada orang luar bahawa Kesultanan Bulud Temil masih berdaulat.


Mereka kemudiannya menamakan Bulud Temil sebagai Api-Api sempena bekas kaki Raja Apoi pada batu pejal (kini di dalam kawasan istana sekarang).

Hiduplah Raja Apoi dan rakyatnya dengan aman damai di dalam Gua Madai sehinggalah Permaisuri Sulid Liud Langgi melahirkan Putera Munai Silong yang elok paras rupa dan bijaksana, mewarisi sifat Raja Apoi dan menggelarkan kerajaannya sebagai Kesultanan Madai.

Tidak lama kemudian, Raja Apoi mangkat dan putera Munai Silong yang muda belia ditabalkan menjadi Raja Idahan II. Selepas Raja Munai Silong mangkat, anaknya Raja Melapas menaiki takhta. Kerajaan Idahan semakin kukuh dengan pertabalan Raja Abau dan seterusnya Raja Abdullah.

Raja Abdullah telah memeluk Islam dengan seorang makhdum di Luk Suban (Silam) yang terletak di bawah jajahan takluknya pada tahun 1408 dan menamakan kerajaannya sebagai Kesultanan Idahan.

Kemangkatan Raja Abdullah membolehkan puteranya, Raja Gemerang meneruskan pemerintahan. Pemerintahan Raja Gemerang tidak lama apabila digantikan dengan Raja Gabag.

Raja Gabag telah menukarkan nama kerajaannya daripada Kesultanan Madai atau Kesultanan Idahan kepada Kesultanan Sabah sempena na-ma sebuah teluk, Luk Sabahan yang kaya dengan ikan dan batu karang beraneka warna.

Kesultanan Sabah mula masyhur dan digahkan lagi dengan peribadi Raja Gabag yang tinggi ilmu batinnya sehingga menggerunkan kerajaan negara luar dan memerintah Sabah selama beberapa abad kerana usia Raja Gabag terlalu panjang disebabkan tidak pernah sakit. Raja Gabag jarang mandi dan kalau ia mandi tujuh hari sungai akan banjir.

Memandangkan perniagaan sarang burung tidak begitu menguntungkan kerana sering diserang bajak laut atau lanun ketika dihantar ke China dan Kepulauan Sulu, maka Raja Gabag mengambil keputusan untuk memindahkan istananya ke Sungai Merendung (Silabukan) dan mengarahkan rakyatnya bertanam padi sawah dan huma.

Lokasi yang dipilih Raja Gabag amat strategik kerana dasar sungai tersebut dalam sehingga kapal besar boleh memudeki sungai se-hingga ke dermaga dan mula muncul sebagai pusat perdagangan terkemuka terutama di rantau Nusantara sehingga pernah disinggahi oleh pedagang China dan India.

Kemasyhuran Kesultanan Sabah yang pusat pemerintahannya terletak di Tag Bangi, persimpangan tiga sungai iaitu Sengayun, Matamba dan Merendung. Pekan kecil berkembang dan tumbuh bagai cendawan yang bermula dengan Tag Bangi, Temunung Gagil, Lung Maniud, Litok Gimbang, Busug Niug dan Sengayun.

Semua pedagang mesti tinggal di dalam perahu dan hanya naik ke darat untuk berniaga. Selepas habis barang mereka mesti pulang. Pelabuhan Tag Bangi menjadi pusat perdagangan tukar barang terkemuka meliputi beras, padi, damar, sarang burung (hitam dan putih), gula, madu, gading gajah dan sumbu badak. Manakala pedagang luar menawarkan gong, kulintangan, tambur, emas suluk, kancing baju, keris, bujak dan pelbagai barangan seramik dan logam yang amat diminati oleh penduduk sekitar.

Sultan Sulu, Sultan Amil Umrah turut berlabuh di dermaga Tag Bangi dan menjalinkan hubungan dagang dengan Kesultanan Sabah. Namun Raja Gabag begitu tegas enggan membenarkan Sultan Amil Umrah mendirikan pondok tempat tinggal dan gudang untuk menyimpan barang dagangan di tepi Sungai Merendung sementara mereka berniaga.

Walaupun agak kecewa dengan layanan Raja Gabag yang enggan membenarkan angkatannya mendirikan pondok, namun Sultan Amil Umrah menganugerahkan gelaran 'Panglima' kepada Raja Gabag sebagai tanda perhargaan perhubungan dagang dua hala yang terjalin.

Raja Gabag agak kecewa dan menganggap Sultan Amil Umrah me-rendahkan martabatnya sebagai raja dengan memberi gelaran 'Panglima' namun tetap menjalinkan hubungan baik demi memelihara kepentingan dagang.

Raja Gabag bersikap pasif apabila enggan membenarkan pedagang dari Johor, Awang Alak Betatar, pedagang dari Johor yang cuba berlabuh di Pelabuhan Tag Bangi tanpa izinnya, apatah lagi Awang Alak Betatar enggan membenarkan perahunya diperiksa Syahbandar.

Armada perang Raja Gabag mengejar perahu Awang Alak Betatar sehingga ke Pulau Sidungul (Semporna).

Merasakan keselamatannya terancam, Awang Alak Betatar belayar ke Kepulauan Sulu dan mendapatkan perlindungan di Istana Sultan Sulu. Awang Alak Betatar bertemu jodoh dengan saudara perempuan Sultan Sulu.

Tidak lama kemudian meneruskan pelayaran dan menemui sebuah kawasan strategik dan mendirikan kerajaan di sana, Kesultanan Brunei dan menggelarkan dirinya Sultan Mohammad 1 pada tahun 1472 sebelum seorang mubaligh Islam, Syarif Ali dari Taif menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Berkat.

Dendam Awang Alak Betatar yang dihalau oleh Raja Gabag dari berlabuh di Tag Bangi diwariskan kepada keturunannya yang mendirikan Kesultanan Brunei. Dendam tersebut semakin memuncak apabila berlaku perang saudara di antara Sultan Mubin dengan keluarga Sultan Mahyudin di antara tahun 1661 hingga 1704 dan Sabah yang tidak pernah terletak di bawah jajahan takluk Kesultanan Brunei telah diserahkan kepada Sultan Sulu sebagai membalas jasa Betara Suluk yang meleraikan perang saudara itu.

Raja Gabag amat marah mendengar berita itu, namun enggan mengiktiraf penyerahan wilayah tersebut yang menjadi jajahan takluknya, namun tidak meneruskan niatnya untuk menghancurkan Kesultanan Sulu dan menghapuskan cucu cicit Awang Alak Betatar yang dianggapnya sebagai lanun.

Apatah lagi ketika itu baginda terlalu sibuk mendalami ilmu kebatinan dan memerintah Tag Bangi yang semakin terkenal sebagai pelabuhan terkemuka sehingga hampir menjadi pelabuhan persinggahan pedagang China dan Timur Jauh.

Perlantikan Joseph W Torrey sebagai 'Maharaja Borneo' oleh Sultan Abdul Meumin (Sultan Brunei ke 24) tidak langsung menarik minat Raja Gabag kerana merasakan perlantikan tersebut seperti kanak-kanak kecil bermain 'Pengantin-pengantin' kerana mereka tidak ada hak untuk melantik seseorang dan mencampuri urusan dalaman Kesultanan Sabah.

Apatah lagi Raja Gabag tidak mengiktiraf Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu yang diasaskan oleh para lanun dan hukum rimba. Sultan Brunei dan Sulu yang menyimpan dendam kerana tidak berpuas hati dengan layanan Raja Gabag mencari pelbagai helah untuk menarik perhatian Raja Gabag ke kancah peperangan kerana segala perlakuan mereka selama ini hanya dipandang sebelah mata oleh Raja Gabag.

Tag Bangi yang selama ini aman damai tiba-tiba gempar oleh sekumpulan lanun yang mengganas merompak padi para petani di Ulu Sungai Merendung. Semua tujuh perahu lanun sarat dengan muatan padi yang baru dituai. Para petani bertempiaran lari menyelamat diri daripada dibunuh oleh lanun yang kejam. Beberapa orang segera ke istana melaporkan peristiwa ini kepada Raja Gabag.


"Biarlah. Kamu baliklah dulu," kata Raja Gabag ringkas kepada wakil petani yang menjadi mangsa lanun.

Raja Gabag lalu turun ke Sungai Merendung dan membawa rotan saga di dalam perahunya lalu membentangkan rotan saga tersebut di antara Tag Bangi dan Lung Maniud merentas Sungai Merendung. Raja Gabag memasang 'Pantang Marau' dan selepas itu balik ke istana untuk berehat.

Lanun-lanun tersebut hilang akal kerana sudah tujuh kali hilir mudek Sungai Merendung, namun tidak menjumpai jalan keluar, lalu ketua mereka merasa bagai dipanggil menghadap Raja Gabag di istana.

"Kenapa kamu mau jumpa saya", tanya Raja Gabag yang sudah mengetahui tujuan kedatangan ketua lanun tersebut.

"Tuanku, kami minta tolong, mau pulang tidak dapat. Sudah banyak kali mundar mandir tapi tidak jumpa jalan," ujar ketua lanun itu cuba berselindung.

"Saya tahu masalah kamu. Hantar balik barang yang kamu rampas kepada tuan punya, kemudian boleh pulang. Kali ini saya bebaskan kamu, tapi jangan buat lagi, " sindir Raja Gabag sehingga membuatkan ketua lanun itu ketakutan dan terkencing di dalam seluar.

Setelah pasti semua padi telah dikembalikan kepada pemiliknya, Raja Gabag membuka ikatan rotan yang merentas Sungai Meren-dung, lalu kesemua lanun yang diupah oleh Sultan Brunei dan Sultan Sulu segera berkayuh laju meninggalkan para petani yang bersorak girang kerana mendapat balik hasil padi mereka yang dirompak lanun ganas tersebut.

Kegagalan lanun tersebut membuatkan Sultan Brunei dan Sultan Sulu mati akal kerana merasakan sukar untuk menumpaskan dan menakluki Kesultanan Sabah kerana Raja Gabag memiliki ilmu kebatinan dan firasat yang tinggi.

Beberapa serangan dan helah mereka telah dapat dipatah dengan mudah oleh Raja Gabag tanpa menitiskan walau setitik darah rakyatnya.

Selain ilmu 'Pantang Marau' Raja Gabag turut mewarisi ilmu 'Sumpak Tumbaga' bagi mengawal keamanan dan memastikan kerajaannya ditakuti lawan kerana kehebatan ilmu batinnya. Raja Gabag tidak boleh menggunakan jari telunjuk sebarangan kerana ilmu 'Sumpak Tumbaga' akan membuatkan makhluk yang ditunjuk mati serta merta.

Jika burung terbang, Raja Gabag hanya perlu menudingkan jari telunjuknya ke arah burung berkenaan, serta-merta burung tersebut jatuh dan terus mati.

Raja Gabag terpaksa mengorbankan anaknya, Itin, sebagai pemantap ilmunya. Anak tunggal yang amat disayanginya terpaksa dikorbankan dengan menunjukkan anak kecil yang baru pandai bertatih dengan jari telunjuknya sebagai syarat pengijazahan ilmu jurus maut tersebut. Bagi mengekalkan ilmu tersebut di dalam tubuhnya, Raja Gabag terpaksa memakan sedikit kepala tahinya dan tujuh ekor anak tikus yang masih merah.

Raja Gabag turut mengamalkan ilmu 'Gerudom' iaitu ilmu kebal, kuat dan boleh hidup dua alam; ilmu 'Surui Barang' yang menggunakan mengkarung untuk menghantar penyakit atau sihir; Umpod; Bilik; Gapun dan Antak Sekali yang menjadikannya hebat, kebal, panjang usia dan ditakuti lawan.

Walaupun Raja Gabag beragama Islam, tetapi hanya bersembahyang dua kali setahun iaitu sunat Aidilfitri dan Aidil Adha, namun tidak pernah meninggalkan puasa.

Agak malang bagi Raja Gabag kerana ketinggian ilmu batinnya tidak dapat menjamin kebahagiaan di akhirat apabila mayatnya tidak diterima bumi ketika disemadikan di tanah perkuburan Islam Tag Bangi setelah memerintah Tag Bangi selama beberapa abad, hampir menandingi tempoh pemerintahan Firaun selama 400 tahun.

Jasad Raja Gabag yang tidak diterima bumi menjadi batu hitam dan anehnya batu tersebut boleh bergerak dan 'Pandai mandi' di Sungai Merendung. Setiap kali batu tersebut turun ke sungai, tidak ada orang yang berani mandi di hilir sungai kerana akan mendapat penyakit yang membawa maut. Air sungai akan menjadi seperti air 'Kopi O' yang hanya hilang dan diikuti oleh banjir besar selama tujuh hari.

Batu Hitam Lembaga tubuh Raja Gabag yang bertapa di Ulu Sungai Silabukan setelah mayatnya tidak diterima bumi dan sering berpindah randah. Hanya suku sakatnya sahaja yang berpeluang menemui batu tersebut atau seseorang yang tidak mempunyai niat sering terserempak dengan batu tersebut yang akan bergerak memasuki air sungai jika ada yang menegurnya. Kalaulah Raja Gabag masih hidup kempunanlah orang luar mahu bertapak di Sabah!


Hanya sepupunya, Siti Rahimin dan Siti Jalailan yang boleh memegang batu hitam lembaga Raja Gabag. Jika orang lain yang menyen-tuh batu hitam tersebut akan mati serta merta. Kini batu hitam tersebut berpindah sendirinya ke hulu Sungai Silabukan dan sudah jarang ditemui. Namun jika orang Idahan berhasrat untuk ke tempat batu tersebut 'bertapa' sungai berkenaan akan banjir sehingga batu itu ditenggelami air dan tidak lagi kelihatan.

Kemangkatan Raja Gabag mengakhiri Kesultanan Sabah kerana tidak ada waris yang ditinggalkan untuk meneruskan kerajaan tersebut. Rakyatnya mengambil keputusan berpindah ke Luk Penok (Tabanak), Sapagaya, Bikang, Binuang, Segangan dan Terusan.

Kemunculan Pelabuhan Bikang turut menarik pedagang menukar haluan dagang daripada Sungai Merendung ke Sungai Longuap di Bikang. Ketika itu Lahad Datu hanyalah sebuah kampung nelayan yang dinamakan sebagai KERUGAU kerana terdapat batu karang dan tersorok oleh pulau dan berpaya bakau yang berlumpur. Kebanyakan orang Idahan mula kembali ke Madai untuk mengutip sarang burung kerana permintaan barangan berkenaan terlalu tinggi dari negara China dan Filipina.


Dua tahun selepas kemangkatan Raja Sabah yang terakhir, Raja Gabag, Sabah telah menjadi tanah jajahan Inggeris pada 28 Januari 1878 kerana Sultan Sulu, Sultan Jamalul Alam, yang tidak tahu malu dan bermuka penyangak telah 'Menggadaikan' Sabah kepada British North Borneo Company yang diwakili oleh Alfred Dent dan Baron Gustave Von Overback tanpa sebarang tentangan daripada orang Idahan dan waris terdekat Raja Gabag yang ketika itu sibuk dengan sarang burung di Gua Madai.

Berita kemangkatan Raja Gabag telah tersebar luas, sehingga menarik ramai peniaga luar datang ke Sabah terutama ke Semenanjung Silam dan Kinabatangan. Orang China, Hong Kong, Taiwan dan Jerman mula memasuki Sabah secara meluas kerana selama ini Raja Gabag mengamalkan 'Dasar Pintu Tertutup' untuk bangsa asing, melainkan untuk berdagang atau singgah mengambil bekalan air.

Maka bermulalah era penghijrahan secara besar-besaran oleh orang asing ke Sabah. Terbuktilah ketokohan Raja Gabag yang selama ini amat ditakuti oleh orang asing kerana selepas kemangkatannya, Sabah terus dibolosi dan didatangi penjajah sehingga negeri yang dahulunya bertuan kelihatan seperti sebuah pulau tanpa penghuni dan dibahagikan sesuka hati sesama mereka.


Pedagang Jerman, Tuan Ringgit membawa masuk orang Dusun (Kadazan) dari Kalimantan (Indonesia) untuk penanaman tembakau di Sungai Melian (Kinabatangan) yang kemudiannya berpindah ke Sungai Tapadong (Segama) apabila berlaku banjir besar di Sungai Melian sebelum bertebaran ke seluruh pelusuk Sabah.

Manakala orang Brunei yang berasal dari Johor belayar dari Brunei ke Sabah dengan perahu layar dan mendarat di Karambunai sebelum mendiami kawasan pesisir pantai Papar sehingga ke Labuan. Kedatangan dua orang bajau, Empat Mata dan Kiat Kulug di Pulau Sidungul (Semporna) dari Filipina disertai kemudiannya oleh beberapa orang Suluk dan Irranun. Ini diikuti oleh seorang Tidung, Betaur, yang kemudiannya berkahwin dengan Jin Sabah di Sungai Sibuku.

Terakhir sekali kedatangan orang Kokos dari Cocos Island (Australia) yang dibawa oleh Tuan Ross (British) untuk industri membuat jut dan Manila hem. Pulau Kokos dipindahkan pentadbirannya daripada Kerajaan Ceylon kepada Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka & Singapura) pada tahun 1886 yang diikuti oleh Labuan pada tahun 1887. Kokos terletak di bawah pentadbiran Singapura, namun pada tahun 1955, pentadbiran Pulau Kokos diserahkan kepada Kerajaan Australia.


Penemuan beberapa barang purba di Rancangan Seberang, berdekatan Sungai Silabukan pada sekitar tahun 1996 membuktikan kewujudan Kerajaan Tag Bangi, terutama keris bersarung emas tulen dan rentaka serta barang lain yang bernilai.

Namun pembukaan kawasan Tag Bangi sebagai ladang kelapa sawit oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah pada sekitar tahun 1976 oleh Kerajaan Berjaya telah banyak merosakkan artifak dan peninggalan sejarah melainkan barangan purba yang tertanam di perut bumi.

Kini masyarakat Idahan merupakan masyarakat minoriti yang tersepit dan dipinggirkan di celah kepesatan gelombang penghijrahan orang asing seperti nasib Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang tenggelam di tengah-tengah kelompok 'Melayu Pendatang' daripada luar.

Terdapat satu jalinan rapat di antara Kesultanan Sulu dengan kaum Idahan yang terjalin sejak Raja Abdullah memeluk Islam sehinggalah kini, walaupun agak hambar di era pemerintahan Raja Gabag. Sesetengah pengkaji sejarah berpendapat tanpa hubungan dengan Kesultanan Sulu mungkin orang Idahan masih belum beragama sehingga kini.

Sejak itu orang Idahan tidak boleh dipisahkan dengan orang daripada Kepulauan Sulu berketurunan Suluk atau Tau-Sug. Berlakulah perkahwinan campur yang memindahkan keturunan Suluk kepada Idahan yang bergelar Datu, gelaran Kepahlawan Kesultanan Sulu.

Belum ada perangkaan rasmi bilangan kaum Idahan tulen yang juga digelar Buludupie, Sabahan, Iraqan, Eraan dan Orang Sungei yang membawa maksud pagan atau tidak beragama oleh generasi ter-dahulu dan masyarakat nusantara. Tetapi apabila Raja Abdullah memeluk Islam mereka digelar Idahan. Manakala yang masih kekal pagan dinamakan Begahak, Subpan dan Sungei.

Bagaimanapun bancian rambang yang dibuat oleh beberapa pihak berdasarkan isi rumah yang belum dapat disahkan, jumlah kaum Idahan kini tidak sampai 3,000 orang lagi. Perkahwinan campur sedikit sebanyak mengikis perlahan-lahan suku bangsa yang pernah memerintah Sabah.

Bagaimanapun jurai keturunan kahwin campur berkenaan terus diasimilasikan dan diiktiraf sebagai pewaris yang sah walaupun tidak dapat dikenalpasti faktor darah ataupun DNA.

Taburan penduduk kaum Idahan dan sekutunya (hasil kahwin campur) berceretek di sepanjang Kampung Sapagaya, Kampung Tabanak, Kampung Binuang, Kampung Segangan, Kampung Bikang, Kampung Terusan, Kampung Dewata dan Kampung Segama Batu 8 di Lahad Datu.

Hikayat Raja Sabah saya mengenepikan Teori asal usul Kadazan-dusun yang selama ini dianggap sebagai penduduk asal atau anak jati Sabah. Oleh kerana itu, etnik Idahan (Begahak, Suppan, Buludupie, Sungei) tidak wajar lagi dikategorikan sebagai etnik Kadazan-dusun.

Walaupun ia hanya karya Sastera Sejarah, namun mempunyai nilai estetika dan menjadi kata kunci kenapa Anak Negeri Sabah tidak ada di dalam Perlembagaan sedangkan Sarawak ditata rias dengan baik dan diiktiraf Perlembagaan Persekutuan.

14 comments:

Ram's said...

menarik kisah ini...saya kebetulan sedang mencari bahan tentang kaum etnik Idahan untuk tugasan anak saya yang bersekolah di salah sebuah kolej hospitaliti.

Saya menghargai usaha saudara kerana kisah ini begitu dekat dihati sya memandangkan saya berketurunan Idahan dari Tabanak Lahad Datu...Terima kasih

Lawrence D Tandaha said...

Kou betul2 kah menghabiskan masa selama 5 tahun utk Copy paste cerita ni.. Then, ko senang2 ckp yg ni adalah ketamadunan melayu.... Agak2 la bro.. Ketamadunan melayu bermula dr indon la.. Yg lari
kalah perang..

Unknown said...

Budi bahasa budaya kita , kinan utuk ikau Lawrence Maidek ,,hahaha belajar sejarah la ya jangan men sedap mulut ja comment coment tu

Unknown said...

Setahu saya suku kaum Sama mengelar dusun adalah idahan dri zaman dahulu lagi......jikalau dusun itu dari china mesti ada tulisan dan penulisan........dikatakan bangsa brunei dri Johor dari mana lagi cerita ni mcm kna PLUS MINUS saja ni........perkataan dusun ini di diberinama dr british bagi mengkelompokkan suku2 ni yg mempunyai banyak sub2 suku........ PENULIS INI KENA BELAJAR DULU LA WALAUPUN SUDAH MENDAPAT GELARAN PROFESSOR ATAU APA PUN TIDAK SEMESTINYA SAHIH

Anonymous said...

sejarah mcm2 versi ntahla nk percaye mane 1 nk kene bace buku sebnyak mane brula dpt persamaan yg boleh digune pakai

Anonymous said...

sejarah mcm2 versi ntahla nk percaye mane 1 nk kene bace buku sebnyak mane brula dpt persamaan yg boleh digune pakai

khasturia00@gmail.com said...

CUCU CICIT KETURUNAN MAHAJARA2 IDAHAN MASIH HIDUP LAGI. MEREKA SEMUA MENETAP DI LAHAD DATU. MAHARAJA GABAG TIDAK ADA ANAK(SATU2NYA WARIS MATI), TAKHTA DI SERAHKAN KEPADA SAUDARA KETURUNAN MAHAJARA2 YANG LAIN(TIDAK MAHU SEBUT KETURUNAN MANA SATU).

Unknown said...

nice and lovely content i got to see here love to see more of this you can visit
https://www.makeoverarena.com/wapdam-music-video-game-movies-www-wapdam-com/

sylvesterlonggou said...

saya sangat berminat cerita2 rakyat seperti ini akan tetapi saya juga menzahirkan rasa kemusykilan berkaitan nama tempat seperti Bulud Temil(sekarang Kota Kinabalu) yang mana tidak mungkin mengambil masa seminggu dua perjalanan pergi balik untuk memburu...

sylvesterlonggou said...

memburu dari Bulud Temil( skrg Kota Kinabalu)- gua Madai,Agup..

Jonjongot said...

Ni artikel tulisan Mutalib ni 90% salah isi dia. Dusun dan Idahan memang berbeza, kedua-duanya ada peradaban sendiri. Idahan di Pantai Timur, Dusun pula di Pantai Barat dan kawasan utara Pantai Timur. Dusun penguasa Pantai Barat Sabah pada zaman dahulu, peranh ada kerajaan besar pada zaman dahulu kala.

David Thomas said...

We are direct mandate to providers and facilitators of all types of Bank Guarantee (BG), SBLC for Lease and Purchase. We engage in MTN, PPP programs, MT109, MT799, MT760, Loans, Sale and Lease of Financial Instruments. In addition we have a track record of 100% deliverance rate with the best workable procedures in the Financial Instruments industry. Our providers are very reliable and ready to transact.


We have an excellent relationship with top rated banks in both Europe and Asia, Stock brokers and financial institutions all over the world. Within a short and transparent transaction period we can provide the SBLC/BG for your Heavy/Light project funding.

We look forward to your cooperation as we establish a successful business relationship. Anticipating your inquiry

Email: tekstructuredfinanceltd@gmail. com
Skype: tekstructuredfinanceltd

Regards
David Thomas
TEK STRUCTURED FINANCE LTD
BROKERS ARE WELCOME

sylvesterlonggou said...

πŸ‘πŸ‘πŸ‘

rajsachtleben said...

Caesars Sportsbook | Hendon Mob Casino, Resort, Spa, South Africa
Located μ„œμ‚° 좜μž₯샡 in Hendon Casino, μ„œκ·€ν¬ 좜μž₯λ§ˆμ‚¬μ§€ enjoy 당진 좜μž₯μ•ˆλ§ˆ a variety of 포천 좜μž₯μ•ˆλ§ˆ entertainment and entertainment attractions including the popular Motor Speedway 동해 좜μž₯μ•ˆλ§ˆ Race Course,